• slider02 1
  • slider04
  • slider05
  • slider01

Celik hati demi al-Quran

Benarlah mereka yang cacat penglihatan walaupun tidak boleh melihat tetapi mempunyai hati yang menjadi `mata’ kepada mereka malah lebih terang daripada manusia yang celik. Ustaz Mohamad Noor Awang Ngah mengalami cacat penglihatan pada kedua-dua matanya sejak kecil namun beliau mampu menghafal al-Quran. Beliau juga berkeupayaan menyampaikan ilmunya kepada mereka yang senasib dan golongan normal. Ilmu yang dimiliki juga telah membawanya hingga ke Brunei selepas ditawarkan sebagai pengajar al-Quran di Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Bandar Seri Begawan, pada 1993 sehinggalah pertengahan 2013. Mohamad Noor, 65, juga merupakan individu pertama negara ini yang berjaya menyalin al-Quran kepada tulisan Braille lengkap 30 juzuk kerana sebelum ini al-Quran Braille di Malaysia diperoleh dari negara luar seperti Jordan, Pakistan dan Arab Saudi, tetapi tidak lengkap sepenuhnya. Usaha itu dilakukannya semasa bertugas di Pusat Islam pada 1981 sehingga 1985 selain menyalin buku-buku agama kepada tulisan Braille untuk Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB). Bapa kepada Pencetus Ummah Amin atau nama penuhnya Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim ini masih terus mencurahkan bakti dan ilmu al-Quran ke seluruh negara walaupun telah menjangkau usia senja. Beliau yang menetap di Nilai, Negeri Sembilan akan menggunakan kenderaan awam untuk ke tempat mengajar sama ada di Pahang, Negeri Sembilan atau Kuala Lumpur tanpa ditemani oleh sesiapapun. “Memang dari dahulu saya suka mencuba. Kalau tak mahu dipukul ombak, jangan berumah di tepi pantai, kalau tak mahu sesat jangan jalan, kalau tak mahu sesat jangan keluar rumah, kalau sesat tanya oranglah. Bagi saya kalau sesat di bandar tak menjadi masalah boleh tanya orang, jangan sesat dalam hutan,’’ ujar beliau secara berseloroh. Menceritakan tentang kisah hidupnya, anak bongsu daripada enam beradik ini berkata, ketika dilahirkan mata sebelah kirinya buta sementara mata kanan boleh melihat 70 peratus namun daya penglihatannya perlahan-lahan pudar. Beliau menerima pendidikan agak lewat kerana kecacatan yang dialami selain bapanya sendiri tidak yakin untuk menghantarnya ke sekolah khas kerana bimbang tentang keselamatan dirinya. “Pernah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hendak hantar saya bersekolah di sekolah orang buta di Johor tetapi tidak diberi bapa atas alasan jauh. Nanti makan pakai tiada siapa yang ambil tahu,’’ katanya yang berasal dari Kampung Bukit Kecil Melor, Kota Bharu, Kelantan. Ketika berusia 10 tahun, di kampungnya telah didirikan sebuah sekolah untuk orang dewasa dan ini dilihat peluang baginya untuk bersekolah. Justeru dengan pantas dia mendaftar diri untuk mengikuti kelas di sekolah berkenaan. “Itulah kali pertama saya bersekolah, membaca dan menu­lis. Saya teringin sangat hendak sekolah sebab kalau kita tidak bersekolah rasa hina berbanding kawan yang sekolah. Ada kawan cakap cikgu kata jangan berkawan dengan budak tak sekolah nanti kita jadi bodoh. Kata-kata ini amat menyentuh hati saya,’’ katanya. Namun sekolah berkenaan hanya mampu bertahan selama dua tahun dan ditutup kerana tidak mendapat sambutan. Beliau kemudian meneruskan persekolahan di Sekolah Agama Madrasah Majidiah, Melor, Kota Bharu selama enam tahun sehingga tamat Sijil Rendah Pelajaran (SRP). “Selepas itu saya ke Maktab Pengajian Islam Kota Bharu daripada tingkatan empat sehingga tingkatan enam atas namun cita-cita untuk masuk universiti tidak kesampaian kerana kekangan kewangan apatah lagi bapa saya baru sahaja meninggal dunia,’’ katanya. Tekad tidak mahu menyusahkan keluarga, Mohamad Noor mencari pekerjaan yang sesuai dengan dirinya dan melalui bantuan JKM, beliau dihantar untuk mengikuti kursus kemahiran di Pusat Latihan Pertanian di Temerloh, Pahang. “Saya belajar di pusat itu sehingga habis. Alhamdulillah doa saya kemudin dimakbulkan apabila ditawarkan kursus al-Quran Braille dan pendidikan khas guru OKU di Yayasan Kesejahteraan Tunanetra Islam di Yongjakarta selama lima tahun bermula tahun 1978 sehingga akhir 80-an dan sekembalinya ke Malaysia saya ditugaskan di Pusat Islam,’’ katanya. Semasa bertugas ketika berusia 31 tahun Mohamad Noor dipertemukan jodoh dengan gadis normal berusia 28 tahun, Hudziah Ahmad yang kini berusia 62 tahun dan dikurniakan lima anak. Ketika ditanya perbezaan mengajar pelajar cacat penglihatan berbanding pelajar normal beliau berkata, mengajar mereka yang cacat penglihatan agar sukar terutama mereka yang tidak ada pengetahuan Braille. “Kita kena sabar, kita kena pegang tangan mereka untuk tunjuk satu-satu huruf untuk mereka rasa. Mengajar 20 orang biasa adalah lebih mudah berbanding mengajar lima OKU,’’ katanya. Beliau kini dalam proses membuka sebuah pusat khas untuk mengajar al-Quran khusus kepada golongan OKU serta normal, masih mencari dana dan sokongan kewangan daripada pihak yang sudi menyumbang. Mohamad Noor turut berpesan kepada golongan OKU dan ibu bapa mereka agar memberi ilmu al-Quran dan akademik kepada anak OKU dan reda takdir Allah agar mereka boleh berikthiar mencari rezeki sendiri.